SEBERANG PERAI: Bekalan petrol RON95 dan diesel negara dijamin mencukupi sehingga Julai ini walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kestabilan bekalan minyak negara dipengaruhi hubungan diplomatik baik Malaysia dengan negara luar termasuk Iran, sekali gus membantu memastikan laluan utama minyak di Selat Hormuz kekal lancar.
“Bekalan minyak setakat ini mencukupi dan kita jangka sehingga Julai, insya-Allah diesel mencukupi.
“Masalah sebelum ini minyak ada, tetapi diesel tidak mencukupi kerana kebergantungan kepada import melalui Selat Hormuz,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Anwar berkata konflik di Timur Tengah turut memberi tekanan kepada ekonomi global termasuk peningkatan kos insurans penghantaran minyak, tambang kapal serta kos import bahan api yang memberi kesan kepada harga barangan dan kos sara hidup rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih mampu mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bagi meringankan beban rakyat.
“Walaupun diesel naik, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan melalui program Budi Madani untuk petani, nelayan, pengusaha traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 260 ekor lembu korban diagihkan kepada masjid dan surau di Parlimen Permatang Pauh bagi pelaksanaan ibadah korban. - CHX





















































































































































































































































