JOHOR BAHRU: Akar umbi UMNO menggesa supaya parti itu diberi peluang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, 11 Julai ini, bagi meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional (BN).
Pengarah War Room BN Johor Bahru, Muhammad Haris Hamzah, berkata kerusi DUN Stulang gagal dirampas semula oleh MCA dalam tiga pilihan raya berturut-turut, sekali gus memerlukan penilaian semula secara lebih objektif dan strategik oleh kepimpinan BN.
Menurut beliau, sudah tiba masanya UMNO dipertimbangkan untuk bertanding di DUN Stulang berdasarkan faktor kebolehmenangan, kekuatan jentera parti dan penerimaan rakyat.
“Maklum balas akar umbi menunjukkan keinginan jelas untuk melihat kepimpinan yang lebih dekat dengan rakyat, aktif di lapangan serta konsisten menyelesaikan isu masyarakat.
“Pada masa sama, kekuatan jentera MCA di Stulang dilihat semakin terhad dan tidak lagi mampu meyakinkan pengundi untuk kembali menyokong BN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Haris berkata, UMNO Johor Bahru memiliki rangkaian akar umbi yang kukuh, jentera yang aktif serta kepimpinan tempatan yang sentiasa mendampingi rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Katanya, kelebihan itu memberi keyakinan bahawa UMNO mempunyai asas lebih kukuh untuk merampas semula kerusi DUN Stulang pada PRN Johor akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa pembahagian kerusi dalam BN perlu dibuat berdasarkan kebolehmenangan dan realiti semasa, bukan semata-mata berasaskan tradisi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan BN dan UMNO Johor supaya mempertimbangkan tuntutan akar umbi berhubung cadangan tersebut, demi memperkukuh peluang kemenangan serta memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik.
Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, kerusi DUN Stulang dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Andrew Chen Kah Eng, yang mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga. - CHX


















































































































































































































































