TANAH MERAH: Pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (PWN).
Bekas Ketua Pembangkang itu memaklumkan, parti tersebut dijangka mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sulung pada minggu hadapan sebagai langkah memulakan gerak kerja organisasi secara rasmi.
Menurut Hamzah, nama “Parti Wawasan Negara” diberikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju Gerakan RESET. Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa parti ini telah dinamakan oleh Presiden PAS sebagai Parti Wawasan Negara.”
Beliau menjelaskan, parti yang baru ditubuhkan itu akan bergerak secara bebas dan tidak bergantung kepada mana-mana individu.
“Parti ini baru dilahirkan. Ia tidak dijaga oleh ‘ayahanda’, tetapi kami ingin bersama-sama dengan PAS, GERAKAN serta rakan-rakan lain.
Insya-Allah, kita akan membina kesefahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif demi masa depan rakyat dan negara,” katanya.
Hamzah berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen RESET yang dirasmikan oleh Abdul Hadi Awang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah:
- Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar
- Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau
Parti Baharu Untuk Kukuh Kerjasama Politik
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan akan mengumumkan penubuhan parti baharu pada hari ini, selari dengan usaha memperkasa gerakan RESET.
Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menyatakan bahawa parti tersebut dijangka menjadi sebahagian daripada gabungan parti politik bagi memperkukuh pengaruh dan kerjasama.
Menurut beliau, Hamzah, bekas Timbalan Presiden BERSATU kini menerajui gerakan RESET untuk memacu gagasan Konsensus Nasional Baharu, yang memerlukan platform parti politik bagi direalisasikan. - CHX


















































































































































































































































