Parti kerajaan bertanding sesama sendiri bukan perkara pelik – Noh Omar

8 Jun, 2026

SHAH ALAM: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar menegaskan bahawa parti-parti yang berada di dalam gabungan kerajaan tetap boleh bertanding menentang satu sama lain dalam pilihan raya tanpa menjejaskan urusan pentadbiran negara.

Sambil mempertahankan pendirian UMNO Johor, beliau menjelaskan situasi sedemikian bukanlah perkara asing dalam landskap politik tanah air kerana ia pernah berlaku dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang menyifatkan keengganan UMNO Johor bekerjasama dengan DAP sebagai sesuatu yang pelik.

"YB Anthony Loke, ini bukan suatu yang pelik. Kenyataan YB ini menunjukkan YB kurang pengalaman sebagai Menteri," katanya menerusi hantaran di laman Instagram beliau di sini, hari ini.

Pengalaman PRN Melaka Dan Johor

Berkongsi pengalaman lalu, Noh berkata semasa PRN Melaka dan PRN Johor, parti-parti seperti UMNO, PAS, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal berada dalam satu jemaah Menteri namun tetap bertanding sesama sendiri.

"UMNO, Pas dan Bersatu duduk sebelah-menyebelah semasa mesyuarat Kabinet tetapi kami bertanding melawan antara satu sama lain di Melaka dan Johor," ujar beliau.

Ahad lepas, Anthony Loke dilaporkan membidas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan kesanggupan melepaskan jawatan Menteri Besar berbanding perlu bekerjasama dengan DAP pada pilihan raya akan datang.

Pentadbiran Kerajaan Tidak Terjejas

Noh yang pernah memegang beberapa portfolio penting Kabinet termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata perbezaan politik sama sekali tidak menghalang kelancaran urusan pentadbiran.

"Begitu juga di kementerian. Semasa mesyuarat pasca-Kabinet, saya Menteri daripada UMNO dan Timbalan saya daripada Bersatu, tapi kami masih boleh bermesyuarat bersama," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar bijak membezakan antara tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan dan aktiviti kempen politik.

"Berkempen tak salah, tetapi mana-mana Menteri jangan gunakan jentera kerajaan untuk berkempen," tegasnya lagi. - CHX

You May Also Like...

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkembangan berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana PAS bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama dilihat memberi sokongan kepada BN di beberapa kawasan.