PUTRAJAYA: Lebih 10,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra pagi ini.
Anwar yang lengkap berbaju melayu biru muda tiba pada jam 8.05 pagi, ditemani isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Solat sunat itu dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhammad Zakuwa Rodzali, dan turut dihadiri Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Sejak jam 7 pagi, perkarangan masjid dipenuhi orang awam termasuk pelancong asing yang ingin menyaksikan suasana solat sunat Aidiladha.
Khutbah Aidiladha bertajuk “Pengorbanan Menuntut Keikhlasan” menekankan bahawa ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi lambang ketaatan penuh kepada Allah SWT seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Khutbah turut menyeru umat Islam memperkukuh ketakwaan, mengutamakan perintah Allah SWT, menggalakkan kebajikan melalui agihan daging korban serta menekankan pengorbanan dalam kehidupan seharian seperti menjaga keluarga, mencari rezeki halal, menuntut ilmu dan mempertahankan perpaduan.
Sebelum beredar, Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah. - CHX


















































































































































































































































