Kuala Lumpur: UMNO dan Barisan Nasional (BN) selesa bekerjasama dengan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan berasaskan matlamat bersama, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keselesaan itu bukan tanda mana-mana pihak bersikap leka, sebaliknya lahir daripada persefahaman kukuh demi memastikan rakyat tidak terus dibebani polemik politik.
“Rakyat tidak seharusnya dipersulitkan dengan polemik berlarutan serta perbezaan pendirian yang berulang,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun ke-80 UMNO, baru-baru ini.
Menurut Pengerusi BN itu, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan sepakat mengetepikan perbezaan politik demi memastikan agenda yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat dilaksanakan secara berkesan.
Beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada titik persamaan antara manifesto parti-parti yang bertanding, khususnya isu kos sara hidup, pendidikan dan pengangguran yang disifatkan tidak mempunyai pertikaian antara gabungan.
“Isu seperti pendidikan dan pengangguran tidak pernah menjadi bahan perdebatan antara parti-parti yang bertanding,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Ahmad Zahid turut mendedahkan, sebanyak 47 peratus kandungan manifesto parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan mempunyai persamaan, sekali gus menjadi asas kukuh kepada kerjasama sedia ada.
“Jika kita mempunyai matlamat yang sama, mengapa perlu melayan perbezaan? Bagi isu-isu terperinci, kita menanganinya melalui Majlis Perundingan Antara Parti bagi merundingkan perbezaan dan melaksanakan kebersamaan berpaksikan manifesto,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan termasuk DAP menghormati empat tonggak utama Perlembagaan Persekutuan.
“Ini terbukti melalui keselesaan yang telah kita bina. Mereka menghormati perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan yang berpaksikan empat tonggak utama iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
“Malah, mereka bukan sekadar menghormatinya, tetapi mengakui ia sebagai hakikat yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas PRU15 pada 2022 apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah, dan kini diterajui Pakatan Harapan (PH) bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Parti Warisan, dengan sokongan beberapa parti lain dan Ahli Parlimen Bebas.


















































































































































































































































