KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan beliau akan meneliti dan membuat keputusan berhubung status pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa sebaik sahaja kembali ke ibu negara.
Beliau berkata, ketika ini beliau berada di luar Kuala Lumpur dan memerlukan sedikit masa sebelum mengumumkan sama ada pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi berkenaan akan diadakan atau sebaliknya.
“Saya di luar KL. Insya-Allah balik nanti saya akan buat keputusan,” katanya.
Kenyataan ringkas beliau itu bagi menjawab pertanyaan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka di kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan atau sebaliknya.
Kelmarin, landskap politik tanah air dikejutkan dengan pengumuman bersama oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengisytiharkan keluar daripada PKR.
Susulan tindakan itu, Rafizi mengosongkan kerusi Parlimen Pandan manakala Nik Nazmi mengosongkan Parlimen Setiawangsa bagi mengambil alih sebuah parti politik sedia ada, Parti Bersama Malaysia (Bersama), yang bakal bergerak sebagai blok bebas pelbagai kaum.
Sementara itu, beberapa pakar perlembagaan turut berpendapat bahawa memandangkan tempoh mandat Parlimen Ke-15 kini telah melepasi had tiga tahun, tiada keperluan undang-undang yang mewajibkan PRK diadakan untuk mengisi kekosongan luar jangka berkenaan, kecuali jika Speaker memutuskan sebaliknya atas faktor-faktor tertentu.
Keputusan itu termasuk sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kedua-dua kerusi tersebut.
Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa Isnin
Rafizi dan Nik Nazmi menyerahkan surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin mengenai keputusan mereka untuk mengosongkan kerusi berkenaan.
Dalam majlis itu juga, Rafizi dan Nik Nazmi turut mengumumkan mereka menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) berkuatkuasa pada Selasa. - CHX


















































































































































































































































