Penggunaan EV di Malaysia catat perkembangan memberangsangkan

20 May, 2026

KUALA LUMPUR: Penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah terkumpul kenderaan penumpang (PV) jenis kenderaan elektrik bateri (BEV) sejak 2018 hingga kini mencecah 94,165 unit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata EV kini bukan lagi sekadar trend global, sebaliknya telah menjadi satu keperluan strategik yang berkait rapat dengan pelaburan, daya saing industri, keselamatan tenaga serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) Bilangan 1/2026 yang berlangsung di Menara MITI semalam.

“Mesyuarat ini diadakan bagi memperkukuh pembangunan ekosistem EV negara. Malaysia telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam penggunaan EV, khususnya bagi kategori BEV,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap mesyuarat berkenaan dapat mengenal pasti penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Langkah ini bertujuan memperkukuh pembangunan industri serta ekosistem EV negara secara lebih progresif, terselaras dan berdaya saing. - CHX

You May Also Like...