KUALA LUMPUR: Penghantar makanan p-hailing dijangka menerima tambahan kuota petrol bersubsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) kepada 250 liter sebulan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.
Beliau menjelaskan ketika ini golongan p-hailing menikmati kuota sebanyak 200 liter, sama seperti pengguna lain.
“Mesyuarat hari Selasa ini saya akan bawa untuk dibincangkan. Sekarang mereka hanya dapat 200 liter, jadi kita sedang usahakan supaya ditambah sekurang-kurangnya 50 liter lagi, menjadikannya 250 liter,” katanya.
Anwar berkata cadangan tersebut timbul hasil inisiatif turun padang beliau bagi mendengar sendiri keluhan penghantar makanan berhubung keperluan harian mereka.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja baik pulih mendesak di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini.
Menurut beliau, peruntukan itu bertujuan membaik pulih kerosakan asas seperti pintu, kemudahan serta infrastruktur yang uzur.
“Saya luluskan RM1 juta dahulu untuk perkara yang mendesak supaya dapat diselesaikan segera,” katanya.
Selain itu, Anwar turut mengarahkan pegawainya mempercepatkan bantuan bagi membaiki kemudahan tandas rosak di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara selepas aduan dikemukakan oleh penduduk.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan isu-isu kebajikan rakyat, terutama di kawasan perumahan berpendapatan rendah, ditangani dengan segera dan berkesan. - CHX





















































































































































































































































