KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya tidak membenarkan golongan minoriti ekstrem menguasai suara majoriti rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian.
Beliau berkata ketika ini wujud segelintir pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
“Sekarang ini yang minoriti bising, marah, kejam, panaskan orang, berhimpun, tanam kebencian, buat fitnah dan takutkan orang ini itu adalah golongan minoriti.
“Saya percaya majoriti rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain mahukan negara yang aman, stabil dan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wesak dan Wacana Harmoni Madani anjuran Majlis Perundingan Buddhis Malaysia.
Turut hadir dalam program itu adalah Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, Anwar menyeru rakyat Malaysia menolak politik kebencian dan perpecahan demi memastikan negara terus aman, maju serta dihormati dunia.
Katanya, sudah tiba masanya golongan majoriti yang cintakan keamanan dan keharmonian tampil bersuara mempertahankan nilai kemanusiaan, kasih sayang serta perpaduan antara kaum dan agama.
Menurutnya, Malaysia sejak awal penubuhannya dibina atas asas kepelbagaian kaum dan agama, justeru prinsip saling menghormati perlu terus diperkukuhkan.
“Cukuplah politik kebencian dan perpecahan. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menentukan arah negara ini dengan hati nurani, kasih sayang dan semangat hormat sesama manusia,” katanya.
Anwar berkata konsep Malaysia Madani bukan sekadar menumpukan pembangunan ekonomi, teknologi digital dan kecerdasan buatan, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap nilai, etika dan moral berpaksikan ajaran agama.
Beliau turut mengingatkan agama tidak pernah mengajar kebencian, sebaliknya menyeru manusia mengamalkan sifat rahmah, belas kasihan dan keamanan.
“Kita mahu pembangunan, inovasi dan teknologi, tetapi dalam masa sama kita mesti kekal manusiawi dengan nilai belas ihsan, hormat dan kasih sayang.
“Dalam Islam misalnya, kita diajar tentang rahmah dan kasih sayang. Tetapi malangnya hari ini yang sering ditonjolkan ialah kebencian dan permusuhan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan terus menyokong sambutan Hari Wesak dan program keharmonian antara agama demi memperkukuh perpaduan negara.
“Saya yakin Malaysia akan terus berjaya jika rakyat memilih jalan damai, hormat dan kasih sayang,” katanya. - CHX


















































































































































































































































