“Salahkah kalau saya cadangkan anak saya jadi calon?” – Puad Zarkashi

25 Jun, 2026

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan bahawa tindakannya meninggalkan UMNO hari ini berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas anaknya tidak dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menegaskan keputusan tersebut dibuat sebagai tanda protes terhadap sistem pemilihan calon yang diamalkan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, sistem berkenaan dilihat tidak telus dan menimbulkan pelbagai persoalan berhubung keadilan dalam pemilihan calon.

Persoal Pemilihan Calon BN

Puad turut menggesa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya tampil menjelaskan beberapa isu berkaitan pemilihan calon BN dalam PRN Johor.

Beliau mempersoalkan pemilihan Pn Alwiyah Talib, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau daripada BERSATU, yang baru menyertai semula UMNO namun dipilih sebagai calon BN dalam tempoh singkat.

“Tak sampai sebulan masuk UMNO, beliau terus dipilih sebagai calon. Kenapa calon muda tempatan diketepikan?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Puad turut mempertikaikan keputusan menggugurkan calon muda seperti Azizul Bachok, bekas ADUN Tiram yang hanya berkhidmat sepenggal, dan digantikan dengan calon lebih berusia.

Dakwa Unsur Kronisme

Menurut Puad, situasi tersebut menunjukkan kemungkinan wujud unsur kronisme dalam sistem pemilihan calon.

“Kenapa BN tolak calon anak muda dan pilih calon berusia 64 tahun? Tidakkah ini kronisme?” soal beliau.

Beliau menegaskan bahawa bantahannya bukan bersifat peribadi, sebaliknya demi memperbaiki sistem dalam parti.

“Apabila pandangan tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi eksklusif. Sebab itu saya ambil langkah ‘kamikaze’ untuk sedarkan pimpinan,” katanya.

Isu Pencalonan Anak

Mengulas dakwaan bahawa beliau kecewa kerana anaknya tidak dicalonkan di DUN Rengit, Puad menjelaskan tidak salah untuk mencadangkan ahli keluarga sendiri selagi mereka mempunyai kelayakan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara tersebut dijadikan isu, sedangkan terdapat kes lain yang melibatkan pencalonan ahli keluarga dalam politik.

“Jika tidak boleh, kenapa anak Ketua Bahagian boleh bertanding? Tidak salah mencadangkan calon yang sudah terlatih,” katanya.

Sebagai analogi, beliau membandingkan situasi itu seperti seorang bapa yang melatih anak menjadi peninju sebelum dihantar ke gelanggang setelah benar-benar bersedia. - CHX

You May Also Like...