AMK Pandan nafi terbubar, dakwaan ‘19 letak jawatan’ disifatkan mengelirukan

21 May, 2026

AMPANG: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin menolak sekeras dakwaan kononnya AMK Pandan telah terbubar susulan tindakan 19 individu yang didakwa sebagai pimpinan cabang meletakkan jawatan.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Timbalan Ketua AMK Pandan, Haqimi Zamri itu adalah terpesong daripada fakta sebenar serta mengelirukan, sekaligus boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong parti.

"Sebahagian individu yang membuat kenyataan keluar parti hari ini bukanlah mereka yang dikenali atau terlibat secara aktif dalam gerak kerja parti.

"Malah, angka 19 yang disebut juga tidak selari dengan jumlah sebenar yang hadir dalam pengumuman terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Ifwat menegaskan bahawa status pembubaran mana-mana sayap parti tidak boleh diputuskan oleh individu atau bekas ahli, sebaliknya tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Seharusnya mantan Timbalan Ketua AMK Pandan merujuk semula Perlembagaan Keadilan. Kuasa menentukan sama ada sesuatu cabang atau sayap terbubar terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa pimpinan pusat parti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bekas pemimpin tersebut agar memberi tumpuan terhadap penglibatan dalam parti baharu yang disertainya serta menunjukkan komitmen berterusan dalam perjuangan politik.

“Saya berharap beliau terus cekal bersama parti baharu dan tidak mengulangi sikap ‘merajuk’ seperti yang pernah berlaku sebelum ini ketika memegang jawatan penting dalam AMK Pandan,” katanya.

Mohd Ifwat Amir turut menekankan bahawa kepimpinan memerlukan jiwa besar serta komitmen tinggi dalam berkhidmat kepada rakyat, bukan bersifat bermusim atau didorong kepentingan peribadi.

“Khidmat kepada rakyat bukan perkara sementara. Ia menuntut kesungguhan dan tanggungjawab kerana setiap jawatan membawa amanah yang besar,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa AMK Pandan kekal kukuh dan utuh bersama perjuangan parti serta optimis untuk terus melangkah ke hadapan dalam memperjuangkan agenda reformasi.

“Perjuangan reformasi akan kami teruskan tanpa mereka yang memilih untuk meninggalkan wadah ini. Fokus kami adalah memperkukuhkan parti dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya mengejar populariti murahan yang akhirnya memalukan diri sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan AMK Pandan untuk mempertahankan prinsip perjuangan.

Sebelum ini, Haqimi mendakwa AMK cabang Pandan telah terbubar selepas 19 daripada ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan.

Haqimi turut mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Haqimi, tindakan tersebut diambil bersama beberapa ahli jawatankuasa lain yang turut mengambil langkah sama, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan semasa kepimpinan AMK di cabang berkenaan. - CHX

You May Also Like...

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkembangan berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana PAS bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama dilihat memberi sokongan kepada BN di beberapa kawasan.