Tiada perbincangan kerjasama BERSATU-PH, dakwaan tidak berasas – Tun Faisal

28 May, 2026

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menegaskan bahawa sebarang kerjasama antara BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana platform rasmi parti.

Beliau berkata, dakwaan kononnya BERSATU akan menyertai PH melalui peranan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, idea kerjasama tersebut juga tidak masuk akal memandangkan BERSATU adalah antara parti yang pernah menjatuhkan kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tidak benar. Perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam Biro Politik, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau mana-mana perbincangan tidak rasmi dalam parti.

“Sekiranya ada usaha ke arah itu, sudah tentu akan wujud tanda atau bayangan gerakan tersebut. Sebagai contoh, seperti gerakan akuan bersumpah (SD) oleh pengikut Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini.

“Setakat ini, tiada sebarang petanda ke arah itu. Ia memang tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, timbul desas-desus mendakwa BERSATU mungkin kembali bekerjasama dengan PH susulan ketegangan hubungan antara parti itu dengan PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, turut mengingatkan PH supaya berhati-hati dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti, khususnya BERSATU dan PAS.

Beliau dilaporkan berkata, PH mempunyai pengalaman pahit hasil kerjasama dengan kedua-dua parti tersebut sebelum ini.

Pada masa sama, Tun Faisal menjelaskan bahawa BERSATU tidak mengambil pendekatan sama seperti UMNO yang kini bekerjasama dengan PH.

Beliau turut mempertahankan Mohamed Azmin, dengan menegaskan bahawa bekas Menteri Besar Selangor itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang tindakan pembersihan dalam parti.

Katanya, tindakan disiplin adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin BERSATU dan dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan parti.

“Lembaga Disiplin menjalankan tugas berdasarkan Perlembagaan BERSATU untuk mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar peraturan, mengkhianati parti atau berunding secara haram tanpa mandat dengan pihak luar.

“Namun, bukan semua yang terlibat dipecat. Ada yang digantung dan ada juga yang diberi amaran. Perkara ini tiada kaitan dengan Mohamed Azmin.

“Beliau tidak melanggar Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti,” katanya.

You May Also Like...