KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tidak timbul isu pengkhianatan politik apabila sesuatu penggal pentadbiran di peringkat negeri mahupun nasional berakhir secara sah.
Kenyataan itu dibuat bagi menolak dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melabel UMNO sebagai “pengkhianat” susulan perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Zahid, Barisan Nasional (BN) telah memberikan sokongan secara konsisten kepada kerajaan Negeri Sembilan sehingga tamat tempoh pentadbiran.
“Apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN, maka kita (BN) bergerak sebagai sebuah gabungan parti yang mempunyai hala tuju tersendiri untuk diterjemahkan dalam tindakan.
Saya tidak fikir wujud sebarang pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran negeri atau nasional itu berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Ke-4 (The 4th Southeast Asian Scholars Conference 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Fokus Kukuhkan Kedudukan Politik
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata langkah seterusnya ialah mencari pendekatan terbaik untuk memperkukuhkan kedudukan politik sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
“Apa yang penting adalah bagaimana kita terus memperkukuh kedudukan dan memastikan hala tuju parti serta gabungan kekal relevan,” ujarnya.
Aminuddin Seru Pengundi ‘Hukum’ UMNO
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan menyeru rakyat negeri itu supaya menggunakan PRN pada 1 Ogos untuk menghukum UMNO.
Beliau mendakwa berlaku unsur pengkhianatan oleh UMNO hingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Aminuddin turut merujuk kepada sepucuk surat yang didakwa ditulis oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemimpin PAS, yang dikatakan mendedahkan perbincangan antara Perikatan Nasional (PN) dan UMNO bagi menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar.
Zahid Pertahan Peranan SPR
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut membidas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mempersoalkan tarikh pilihan raya Negeri Sembilan berbanding Johor serta menggesa kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa penetapan tarikh pilihan raya adalah kuasa mutlak SPR seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.
“Tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia berada di bawah bidang kuasa SPR,” katanya. - CHX


















































































































































































































































