Kes subahat terima rasuah, Mahkamah tetapkan 20 julai putuskan kes Zizie Izette

18 May, 2026

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 20 Julai ini sebagai tarikh keputusan sama ada Datin Seri Zizie Izette A. Samad disabitkan atau dibebaskan daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima suapan berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar penghujahan daripada pasukan pembelaan yang diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Seri K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri.

Pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How serta Mohamad Fadhly Mohd Zamri.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis tambahan sebelum 9 Julai ini.

Pada 5 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mendengar keterangan Zizie Izette selaku saksi tunggal.

Suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebelum itu selesai memberi keterangan pada 2 September tahun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah pada 16 Januari lalu telah membebaskan Bung Moktar daripada pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu berikutan kematiannya pada 5 Disember tahun lalu.

Zizie Izette sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 3 Mei 2019 terhadap ketiga-tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa bersubahat dengan Bung Moktar, ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, memperoleh RM2.2 juta daripada seorang individu bernama Madhi sebagai upah mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II.

Untuk pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat memperoleh suapan wang tunai RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Beliau turut berdepan pertuduhan ketiga, iaitu bersubahat menerima RM337,500 daripada Norhaili, yang juga ejen pelaburan Public Mutual Berhad, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya.

Kesalahan bagi pertuduhan kedua dan ketiga itu juga didakwa berlaku di lokasi serta waktu yang sama, iaitu di Public Bank Berhad, cawangan Taman Melawati pada 12 Jun 2015. - CHX

You May Also Like...