Dakwaan konspirasi pembubaran DUN Johor tidak berasas – Pemuda UMNO Segamat

18 Jun, 2026

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Muhammad Ferhad Azuar menolak dakwaan yang mengaitkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebagai satu konspirasi politik.

Menurut beliau, tuduhan tersebut tidak berasas kerana Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebelum ini telah memaklumkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan sebelum tamat penggal semasa pada April 2027.


Pembubaran DUN Mengikut Jadual Pentadbiran

Ferhad menyifatkan cubaan mengaitkan pembubaran DUN dengan agenda tersembunyi sebagai tidak logik.

“Menarik bagaimana sesetengah pihak boleh menukar kalendar biasa menjadi bukti konspirasi. UMNO sambut ulang tahun ke-80 pada Mei, kemudian DUN dibubarkan sebulan selepas itu, lalu terus dikaitkan seolah-olah ada agenda rahsia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa situasi tersebut hanyalah kebetulan biasa dan bukan sesuatu yang luar jangka.

“Jika ikut logik yang sama, setiap kali hujan selepas orang basuh kereta juga boleh dianggap sebagai ‘konspirasi’. Realitinya, Onn Hafiz sudah lama mengumumkan PRN akan diadakan sebelum April 2027.”

Menurutnya lagi, pembubaran DUN menjelang penghujung penggal adalah amalan pentadbiran biasa, bukannya plot dramatik seperti dalam filem.


PRN Johor 2022 Bukti Sokongan Kepada BN

Dalam masa sama, Ferhad turut membidas hujah yang menggunakan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai bukti kononnya rakyat menolak kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara keseluruhan.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan itu tidak menggambarkan realiti politik semasa, khususnya selepas keputusan PRN Johor 2022.

“PRN Johor 2022 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar dengan 40 daripada 56 kerusi. Najib sendiri menjadi tokoh utama dalam kempen ketika itu.”

Tambahnya, jika benar rakyat menolak sepenuhnya kepimpinan tersebut, kemenangan dua pertiga BN tidak mungkin berlaku.


Naratif Politik Lama Diulang Semula

Ferhad turut menyentuh isu seruan supaya golongan muda didedahkan dengan sejarah politik secara adil.

Menurutnya, beliau bersetuju dengan pendekatan tersebut, namun mempertikaikan sikap sesetengah pihak yang hanya memilih naratif tertentu.

“Jika benar mahu adil, kenapa tidak disebut juga pencapaian era tersebut? Atau keadilan itu hanya terpakai apabila ia memihak kepada pihak tertentu?”

Beliau berpendapat bahawa naratif yang dibawa bukanlah usaha pendidikan sejarah sebenar, sebaliknya hanya mengulangi strategi lama.

“Pengajaran sebenar bukan tentang individu semata-mata, tetapi bagaimana naratif ketakutan dijual sebagai kesedaran sejarah, sedangkan ia hanyalah skrip lama yang gagal pada 2022 dan kini cuba dimainkan semula menjelang 2026," katanya. - CHX

You May Also Like...