JOHOR BAHRU: Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih belum boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad terhadap ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan perkembangan geopolitik di Asia Barat perlu dipantau rapi kerana keadaan yang tidak menentu berpotensi mempengaruhi bekalan minyak dunia.
Menurutnya, berdasarkan data pasaran minggu lalu, harga minyak mentah Brent mencatatkan penurunan dan kekal di bawah paras AS$90 setong, manakala harga minyak spot pula berada di bawah AS$100 setong.
“Apa yang berlaku dalam tempoh seminggu lalu memberi kesan positif kepada pergerakan harga minyak.
“Namun, untuk mengatakan perkara ini sudah selesai, kita masih menantikan perkembangan di Asia Barat,” katanya pada Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, isu utama ketika ini adalah memastikan bekalan fizikal minyak mentah terus berada dalam pasaran global memandangkan Selat Hormuz, laluan kritikal perdagangan tenaga dunia, masih belum dibuka sepenuhnya.
Katanya, sebarang gangguan terhadap laluan itu boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga dan seterusnya menjejaskan kestabilan harga minyak dunia.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus menyelaras langkah intervensi yang diperlukan bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan pasaran sehingga keadaan kembali reda.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan perunding AS dan Iran mencapai persetujuan sementara bagi melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari serta rangka kerja rundingan nuklear.
Memorandum persefahaman itu masih tertakluk kepada kelulusan muktamad Presiden AS, Donald Trump, walaupun syarat perjanjian sebahagian besarnya telah dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.- CHX


















































































































































































































































