Misi GSF 2.0: Bot disabotaj, Amirudin nekad teruskan suara demi Gaza

22 May, 2026

Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan bahawa bot yang sepatutnya dinaiki beliau dalam fasa akhir misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipercayai telah disabotaj oleh rejim Zionis.

Menurut Amirudin, yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua delegasi GSF 2.0, kejadian itu berlaku selepas pihak berkenaan mengesan pergerakan bot tersebut lebih awal.

“Sebenarnya saya dijadualkan menyertai perjalanan terakhir itu, tetapi mereka berjaya mengesan bot yang akan saya gunakan.

“Bot berkenaan ditenggelamkan, dipercayai akibat sabotaj, sebelum saya sempat menaikinya atau sebelum delegasi yang akan bersama saya sempat mendarat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor dan Program Didik Kasih di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini hari ini.

Meskipun berdepan ancaman dan gangguan, Amirudin menegaskan bahawa insiden tersebut tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Gaza.

“Insya-Allah, kita tidak akan berhenti di sini. Kita mahu memastikan mesej ini terus sampai — ‘Break the silence’. Kita perlu memecahkan kebisuan dunia terhadap penderitaan rakyat Gaza,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan tindakan menahan serta memberikan tekanan fizikal terhadap 29 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi itu sebagai satu bentuk “penculikan terdesak”.

“Mereka ditahan di perairan antarabangsa. Pada saya, ini adalah penculikan oleh rejim dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai peserta menyertai misi kemanusiaan ini.

“Malah, sabotaj berlaku sebanyak dua kali, di perairan Greece dan berhampiran Turkiye,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur apabila kesemua aktivis terbabit dilaporkan selamat dan dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, mereka telah dibebaskan. Walaupun ada yang mengalami penderaan dan tekanan fizikal, kita bersyukur mereka selamat.

“Saya difahamkan mereka dijangka tiba di Malaysia menjelang hujung minggu ini, dan kemungkinan saya akan menyambut kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Amirudin turut memaklumkan bahawa pihaknya kini menunggu laporan akhir berhubung penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan yang telah dilepaskan bulan lalu.

“Kita sedang tunggu pengesahan. Apabila bantuan itu sampai, saya sendiri akan ke lokasi untuk melihat penyampaian tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan bahawa kesemua 29 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan telah selamat tiba di Istanbul, Turkiye pada jam 5.45 petang waktu tempatan semalam.

Menurut beliau, keadaan mereka dilaporkan stabil, walaupun enam individu termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut. - CHX

You May Also Like...