SELAYANG: Seramai 18 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 diumumkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan mengikut kategori.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, daripada jumlah itu, tujuh pelajar dipilih sebagai terbaik kebangsaan bagi aliran sains, manakala tujuh lagi bagi aliran sains sosial.
“Selain itu, seorang pelajar terbaik kebangsaan bagi kategori Orang Asli turut diumumkan, serta tiga pelajar terbaik dalam kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang merangkumi spastik, buta dan rabun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua pelajar terbaik tersebut menerima anugerah berupa wang tunai RM1,000, plak dan sijil penghargaan daripada MPM.
Universiti Awam Tawar Tajaan Julung Kali
Md Amin berkata, tahun ini mencatat sejarah apabila semua universiti awam akan menawarkan tajaan dalam bentuk yuran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda kepada 18 pelajar terbaik kebangsaan berkenaan.
“Tajaan ini akan diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek,” katanya.
Pengiktirafan MUET dan SKBMW
Tambah beliau, MPM turut memberikan pengiktirafan kepada:
- Seorang pelajar terbaik kebangsaan Malaysian University English Test (MUET) 2025.
- Seorang pelajar terbaik kebangsaan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2025.


















































































































































































































































