PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas hari ini di Menara SPR bagi memuktamadkan tarikh penting serta perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu dijadualkan bermula pada jam 10 pagi, sebelum satu sidang media diadakan sebaik sahaja selesai.
Sidang media berkenaan dijangka menjadi tumpuan kerana bakal mengumumkan perkara utama PRN kedua-dua negeri, termasuk:
- tarikh pengeluaran writ pilihan raya
- hari penamaan calon
- tempoh berkempen
- hari pengundian
- tarikh pengundian awal
Selain itu, SPR turut dijangka berkongsi maklumat berkaitan persiapan dan pelaksanaan pilihan raya yang akan datang.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Langkah itu diikuti Negeri Sembilan apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 4 Jun mengumumkan pembubaran DUN negeri yang mempunyai 36 kerusi, berkuat kuasa keesokan hari, selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. - CHX


















































































































































































































































