ISU RANTAIAN BEKALAN DAN POLITIK SEMPIT

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap mengenai isu rantaian bekalan global

4 May, 2026

ISU RANTAIAN BEKALAN, JANGAN KETEPI FAKTA DEMI POLITIK SEMPIT – PM

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur tindakan segelintir pihak yang membelakangkan fakta dan kebenaran demi kepentingan politik sempit, khususnya dalam isu berkaitan rantaian bekalan serta kenaikan harga tenaga di peringkat global.

Beliau menegaskan bahawa budaya politik di Malaysia kadangkala tidak berpaksikan realiti apabila ada pihak menggunakan naratif agama, kaum atau atas nama rakyat tanpa menilai fakta sebenar, termasuk dakwaan kononnya terdapat sebuah negeri yang tidak dilalui Petronas serta isu bayaran seumur hidup di Selat Hormuz.

"Ini kadang-kadang ada politik di Malaysia ni, kadang-kadang dia tak kira fakta, dia tak kira benar. Sama ada dia guna nama Islam ke, nama Melayu ke, nama rakyat ke, dia tidak pernah menilai kebenaran dan fakta," tegas beliau.

Mengulas lanjut mengenai gangguan di laluan perdagangan utama tersebut, Anwar menjelaskan bahawa apabila sesuatu laluan strategik terganggu, kos operasi akan meningkat secara mendadak.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa peningkatan harga yang dialami ketika ini bukanlah satu manipulasi kerajaan, sebaliknya kesan daripada kos pengangkutan (freight) dan insurans yang melonjak tinggi ekoran risiko keselamatan terhadap anak kapal dan aset syarikat.

"Keadaan mungkin tidak mudah, mesti melalui salah satu laluannya tapi bila tersangkut, ada yang mengatakan harga lama masih betul. Itu tidak benar kerana kos freight bertambah, kos insurans bertambah. Apabila melibatkan keselamatan anak-anak kapal dan syarikat, harga melambung tinggi dan akhirnya kesan itu kita yang terima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya pada Isnin.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kedudukan Malaysia dalam aspek jaminan bekalan (supply) tenaga adalah jauh lebih stabil berbanding negara-negara lain.

Tambah beliau, berdasarkan taklimat terkini daripada Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Mohd Hassan Marican, beliau menyatakan bahawa hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara pengeluar utama telah membantu Malaysia mengekalkan kestabilan bekalan minyak dan gas.

"Kita bernasib baik, Malaysia antara negara yang terjamin bekalan dan gas. Hubungan baik kita dengan Iran, Rusia, dan Turkmenistan memberikan kita jaminan bekalan. Jadi, dari segi bekalan kita tiada masalah, tetapi cabarannya adalah harga yang meningkat di luar kawalan kita," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Anwar mengingatkan rakyat bahawa situasi harga minyak yang dialami Malaysia ketika ini tidak dapat lari daripada tekanan global yang sama dihadapi oleh negara jiran seperti Indonesia. - CHX

You May Also Like...