SEPANG: Sekurang-kurangnya 87 aktivis kemanusiaan yang dipercayai ditahan di Pelabuhan Ashdod, Israel, kini melancarkan mogok lapar secara besar-besaran.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sany Araby Abdul Alim Araby, berkata tindakan itu diambil sebagai protes terhadap penahanan secara haram kira-kira 9,500 warga Palestin oleh rejim Zionis.
Menurut beliau, mogok lapar berkenaan turut menjadi simbol bantahan terhadap layanan tidak berperikemanusiaan serta pencabulan hak asasi manusia yang didakwa dilakukan oleh pihak rejim terhadap aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
“Mereka juga menyeru masyarakat antarabangsa agar terus mendesak supaya undang-undang yang tidak munasabah terhadap 9,500 tahanan Palestin, khususnya dari Gaza, ditamatkan.
“Golongan yang ditahan termasuk doktor dan pemuda bawah umur, malah ada yang dikatakan berdepan risiko hukuman gantung tanpa melalui proses perbicaraan,” katanya dalam sidang media di SNCC, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai usaha membebaskan rakyat Malaysia yang turut ditahan, beliau berkata pasukan perundangan tempatan melalui Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) telah membuat persiapan rapi sejak peringkat awal.
Menurutnya, CENTHRA bekerjasama dengan firma guaman Legal Center for Arab Minority Rights yang mempunyai kepakaran khusus dalam mengendalikan kes berkaitan rejim Israel di peringkat antarabangsa.
“Pasukan peguam telah berada di Pelabuhan Ashdod bagi menguruskan kebajikan serta tindakan undang-undang untuk aktivis yang ditahan.
“Melalui rangkaian dan akses undang-undang yang tersedia, mereka berjaya mendapatkan pengesahan awal bahawa keseluruhan delegasi kemanusiaan, termasuk 29 rakyat Malaysia, berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihak guaman berdepan cabaran besar apabila akses untuk bertemu dan mewakili aktivis secara individu disekat oleh pihak berkuasa Israel.
Menurut beliau lagi, kehadiran pasukan guaman tersebut amat penting bagi memastikan hak tahanan terus dipertahankan, selain mengumpul bukti berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah Konvensyen Geneva.
Tambahnya, usaha itu juga bertujuan mengelakkan aktivis yang ditahan dipindahkan ke Penjara Ketziot dengan tuduhan terlibat dalam aktiviti keganasan. - CHX


















































































































































































































































