PUTATAN: Sebanyak sembilan pakej kerja (WP) bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata pakej terbabit ialah WP1, WP3, WP4, WP7, WP8, WP10, WP11, WP29 dan WP30. Ia melengkapkan empat pakej yang telah siap lebih awal antara 2023 hingga 2025, iaitu WP5, WP15, WP21 dan WP27.
“Kita komited mempercepat pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah bagi memastikan kemudahan kepada rakyat dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya pada sidang media di Jabatan Kerja Raya (JKR) Putatan, hari ini. Turut hadir, Pengarah JKR Sabah, Baharuhom KK Sogon.
Beliau berkata, empat lagi pakej kerja dijangka siap tahun depan, melibatkan WP2, WP12, WP19 dan WP28, manakala baki projek akan disiapkan secara berperingkat sehingga 2030.
“Setakat ini, kita menjangkakan 12 pakej kerja lagi akan siap pada 2028, diikuti tiga pada 2029. Baki terakhir iaitu WP26, WP34 dan WP35 dijadualkan siap pada 2030, sekali gus melengkapkan Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1A dan 1B,” katanya.
Menurutnya, dua lagi pakej kerja akan dibuka pada Julai ini bagi menghubungkan Putatan dan Menggatal tanpa melalui pusat bandar Kota Kinabalu, iaitu WP6 dan WP7. Laluan ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik di ibu negeri.
Mengenai Fasa 1B, Ahmad berkata kerja pengalihan utiliti melibatkan Sabah Electricity, Jabatan Air Negeri Sabah dan Telekom Malaysia telah dimulakan, selepas isu pelantikan subkontraktor berjaya diselesaikan melalui penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan.
“Cabaran utama kontraktor ketika ini adalah dari segi pengurusan projek dan kewangan. Namun, kementerian sentiasa memantau rapi bagi memastikan setiap keputusan dapat dibuat dengan segera dan projek berjalan lancar mengikut sasaran,” katanya. - CHX


















































































































































































































































