KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak membiarkan segelintir pihak yang gemar memainkan sentimen perkauman serta menyebarkan fitnah merosakkan masa depan Malaysia yang dibina atas asas perpaduan dan saling menghormati.
Anwar menegaskan, budaya wacana dan dialog antara agama mesti terus diperkukuh, bukannya dijadikan ruang untuk menimbulkan isu saban hari yang menyemai kebencian, menakut-nakutkan rakyat serta memecahbelahkan masyarakat demi kepentingan politik sempit.
“Sudah sampai ketikanya rakyat yang sederhana dan cintakan keamanan bersuara mempertahankan perpaduan negara.
“Jangan kita biarkan ‘tyranny of the minority’ atau kelompok kecil yang gemar memainkan sentimen perkauman dan fitnah merosakkan masa depan Malaysia yang dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak yang mengangkat kepentingan persefahaman, nilai kemanusiaan serta keharmonian antara masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini.
Anwar berkata, negara ini sejak awal di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dibina atas semangat ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.
Menurut beliau, kepelbagaian dan perbezaan bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi asas pembentukan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan.
Katanya, Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan dan masyarakat Melayu serta bumiputera sebagai majoriti, namun negara ini turut dibangunkan dengan sikap saling menghormati kepelbagaian kaum serta agama.
Beliau turut menegaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI kembali memperkukuh nilai ihsan, adab dan kemanusiaan sebagai teras pembinaan negara.





















































































































































































































































