PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik Naib Presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai pengarah pilihan raya parti bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi menggantikan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata rombakan itu merupakan sebahagian daripada penyelarasan strategik parti untuk memperkemas dan memperkukuh koordinasi proses kerja menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, dalam fasa seterusnya, Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan keupayaan jentera pilihan raya PKR serta penambahbaikan aliran kerja.
“Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang berlangsung semalam, yang turut bersetuju dengan beberapa lagi penyusunan strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam mesyuarat sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (war room).
Azman akan dibantu oleh bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi.
Menurut Fuziah, pelantikan itu bertujuan memperkukuh penyelarasan strategi, operasi lapangan serta pemantauan gerak kerja pilihan raya.
Mengulas perubahan beberapa jawatan dalam PKR, beliau berkata ia adalah sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat.
Katanya, penyusunan itu juga merupakan kesinambungan kepada asas gerak kerja yang telah dibina sebelum ini, termasuk pengukuhan struktur pilihan raya, penyelarasan antara negeri dan cabang, serta peningkatan penggunaan data, sistem dan teknologi dalam operasi lapangan melalui pengenalan sistem pilihan raya TERAS.
Fuziah berkata, penekanan yang diberikan dalam rombakan itu mencerminkan komitmen PKR untuk terus melabur dalam pembangunan keupayaan anggota akar umbi supaya kekuatan parti dapat diperkukuh secara menyeluruh dan berterusan.
Menurutnya, PKR menyedari kekuatan parti bukan hanya terletak pada kepimpinan pusat, tetapi turut merangkumi ribuan ahli di lapangan yang sentiasa berkhidmat, mendengar dan menyantuni rakyat setiap hari.
“Dalam semangat tersebut, PKR merakamkan penghargaan kepada semua anggota baharu yang menyertai parti, dengan jumlah keanggotaan baharu dari April hingga Mei lalu mencecah 5,936 orang.
“PKR kini bergerak ke fasa seterusnya dengan tekad merapatkan saf parti, memperkukuh keupayaan akar umbi dan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang fokus, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang,” katanya. - CHX


















































































































































































































































