KUALA LUMPUR: Seramai 29 rakyat Malaysia yang didakwa diculik oleh rejim Zionis Israel dijangka akan dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat menerusi usaha diplomatik bersama antara Malaysia dan Turkiye.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Turkiye telah menghantar tiga pesawat ke Israel bagi membawa keluar semua individu yang ditahan, termasuk rakyat Malaysia.
Menurut beliau, usaha berkenaan merupakan hasil kerjasama erat melalui hubungan diplomatik yang kukuh antara kedua-dua negara.
“Ini telah diusahakan bersama dalam hubungan diplomatik yang sangat baik antara Menteri Luar Malaysia dan Turkiye, selain kerjasama antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
“Insya-Allah, rakan-rakan kita akan pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi dan agensi di bawahnya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut mendoakan agar kesemua rakyat Malaysia terbabit selamat tiba di tanah air. Beliau turut menyifatkan keberanian mereka berdepan tindakan rejim Zionis itu sebagai satu sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia.
“Keberanian mereka yang terus berdepan dengan rejim yang zalim di Israel harus menjadi pembakar semangat kepada kita semua,” katanya lagi. - CHX


















































































































































































































































