KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi utama apabila Indeks Kepercayaan Malaysia meningkat kepada 71 mata tahun ini berbanding 66 mata pada 2025.
Peningkatan lima mata itu sekali gus meletakkan Malaysia di tangga ketujuh sebagai negara paling dipercayai daripada 28 pasaran global yang dikaji.
Bagaimanapun, dapatan terbaharu kajian Edelman Trust Barometer 2026 mendedahkan wujudnya kebimbangan terhadap peningkatan sikap tidak mempercayai dalam kalangan masyarakat yang mempunyai perbezaan pandangan, latar belakang, dan sumber maklumat.
Ketua Pegawai Ecemeck Edelman Malaysia dan Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin berkata, walaupun Malaysia berjaya membina kedudukan kukuh, cabaran seterusnya adalah untuk memperluaskan elemen kepercayaan itu merentasi kelompok masyarakat yang berbeza.
Beliau menjelaskan bahawa kepercayaan sedia ada ketika ini dikesan lebih tertumpu dalam kelompok yang hanya berkongsi nilai, sumber maklumat, dan komuniti yang sama.
"Malaysia tidak boleh terus menikmati tahap kepercayaan yang tinggi sekiranya jurang dalam masyarakat semakin ketara. Merapatkan jurang ini bukan sahaja penting daripada sudut sosial, tetapi juga kritikal bagi memastikan pertumbuhan negara dapat diteruskan," katanya pada majlis pelancaran Edelman Trust Barometer Malaysia 2026 di sini, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail.
Kajian itu turut menunjukkan 65 peratus rakyat Malaysia kini mempunyai kecenderungan 'insular trust mindset', iaitu sikap ragu atau enggan mempercayai individu yang berbeza daripada mereka dari segi nilai, pandangan sosial, atau latar budaya.
Selain itu, hanya 37 peratus responden dikesan mendapatkan maklumat daripada sumber yang mempunyai pandangan politik berbeza sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Dari segi prospek ekonomi, kajian mendapati hanya 39 peratus rakyat percaya generasi akan datang akan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding hari ini, iaitu merosot tujuh mata berbanding tahun lepas.
Kajian sama turut mendedahkan 73 peratus rakyat Malaysia bimbang terhadap tindakan pihak luar yang sengaja menyebarkan maklumat palsu menerusi media tempatan untuk mencetuskan perpecahan domestik, meletakkan Malaysia di kedudukan kedua tertinggi di dunia dalam aspek kebimbangan itu selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mengulas mengenai ancaman maklumat palsu, Yong berkata taktik yang dipacu pihak asing serta penyebaran dakyah melalui platform digital kini menggugat kepercayaan awam terhadap landskap media tempatan.
Beliau berkata, trend tersebut sebahagiannya didorong oleh fenomena 'fear of missing out' (FOMO) atau bimbang ketinggalan maklumat, yang mendedahkan orang ramai kepada laporan tidak sahih dalam talian.
"Apabila orang ramai memiliki telefon pintar yang canggih, mereka cenderung diserang sindrom FOMO lalu membaca pelbagai laporan pelik yang meragukan daripada individu yang mempunyai agenda tertentu," katanya yang turut menjadi panelis dalam sesi perbincangan bertajuk "From Trust Holders to Trust Brokers: What Malaysia's Institutions Must Do".
Yong menambah, di sebalik cabaran itu, tahap kepercayaan tinggi terhadap institusi dan sektor korporat tempatan harus dijadikan aset penting untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta perpaduan.
Berdasarkan pecahan institusi, tahap kepercayaan terhadap majikan mendahului dengan 82 peratus (dalam kalangan pekerja), diikuti sektor perniagaan (76 peratus), kerajaan (72 peratus), pertubuhan bukan kerajaan (72 peratus), dan media (65 peratus), dengan kesemuanya kekal berada dalam kategori 'dipercayai'.
"Kepercayaan terhadap sektor perniagaan di negara ini amat kukuh dan antara yang tertinggi di dunia. Ini asas yang amat penting kerana rakyat percaya kepada kemampuan syarikat, majikan, dan usahawan untuk membawa nilai serta kestabilan," katanya.- CHX


















































































































































































































































