KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan keanggotaan dua Ahli Parlimennya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, gugur serta-merta susulan pengisytiharan keluar daripada parti, hari ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata keputusan itu dibuat selaras dengan Fasal 9(1)(c) Perlembagaan parti selepas pihaknya menerima pengesahan mengenai pendirian kedua-dua pemimpin berkenaan.
Menurutnya, PKR telah menerima rakaman ucapan Rafizi dan Nik Nazmi yang secara terbuka mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen serta pengunduran daripada parti.
“Pengisytiharan itu jelas dan menepati peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan, iaitu kerusi Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan sekiranya seseorang ahli tidak lagi menjadi anggota parti yang diwakilinya ketika dipilih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Fuziah memaklumkan pihaknya akan merujuk kes melibatkan Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bagi menentukan status rasmi kerusi mereka.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan bahawa PKR akan meneliti kedudukan beberapa Ahli Parlimen lain yang hadir dalam majlis pengumuman hala tuju politik berkenaan.
Terdahulu, dalam majlis yang berlangsung di Petaling Jaya, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan bahawa mereka akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Majlis itu turut menyaksikan simbolik penyerahan kepimpinan parti berkenaan kepada kedua-dua pemimpin tersebut, yang bakal menerajui BERSAMA selepas ini.
Beberapa Ahli Parlimen PKR turut dilihat hadir dalam program berkenaan, termasuk Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa esok, selain memaklumkan keputusan keluar parti itu secara rasmi kepada Setiausaha Agung PKR pada Selasa. - CHX


















































































































































































































































