KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah memutuskan sebarang pendirian untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan, sebaliknya terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pandangan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO negeri itu yang menyatakan kesediaan menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sebelum ini dianggap sebagai satu kenyataan saja.
"Kita tak ada niat untuk jadi pembangkang, itu hanya sebuah kenyataan saja. Tetapi UMNO di peringkat pusat sudah memutuskan bahawa ADUN di Negeri Sembilan tetap menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Kami Gen MARA di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Ditanya sama ada UMNO akan mencadangkan nama ADUN mereka sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan baharu, beliau menjelaskan hal demikian belum dibincangkan lagi.
Mengulas mengenai intipati mesyuarat perundingan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO malam ini, Ahmad Zahid berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan nanti.
"Nanti kita keluarkan kenyataan. Yang akan keluarkan kenyataan itu biarlah Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung PH sendiri," katanya.
Biro Politik PH dan UMNO dijadualkan mengadakan mesyuarat perundingan malam ini, antara lain membincangkan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya Melaka dan Johor.
Mengenai persiapan PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU), Ahmad Zahid berkata, semua parti sudah bersiap sedia dan paling penting apabila mandat diserahkan kepada rakyat semula, maka mereka harus memilih kombinasi gabungan parti politik yang terbaik.
"Namun terlalu awal untuk kenal pasti kombinasi gabungan parti politik itu," katanya.


















































































































































































































































