Bank Rakyat perkukuh ketahanan sistem, lindungi maklumat pelanggan

1 Apr, 2026

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mengesahkan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung insiden keselamatan siber pada 2024 telah diselesaikan dan langkah pemulihan yang sewajarnya telah dilaksanakan.

Bank itu berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan infrastruktur teknologi, kawalan keselamatan siber, dan proses operasi bagi memperkukuh ketahanan sistem serta melindungi maklumat pelanggan.

"Usaha ini merangkumi peningkatan keupayaan pemantauan, pengesanan ancaman serta pengawasan tadbir urus, selaras dengan jangkaan kawal selia dan amalan industri.

"Bank Rakyat kekal komited untuk memastikan persekitaran perbankan yang selamat dan boleh dipercayai untuk pelanggannya. Kami merakamkan penghargaan atas sokongan dan keyakinan berterusan daripada pelanggan serta pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BNM sebelum ini mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) sebanyak RM1 juta ke atas Bank Rakyat susulan pelanggaran berkaitan perlindungan maklumat pelanggan dan keselamatan siber pada 20 Januari 2026.

Bank pusat itu memaklumkan Bank Rakyat gagal melaksanakan piawaian keselamatan siber yang kukuh seperti ditetapkan di bawah dokumen dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD).

Selain itu, Bank Rakyat turut didapati tidak melindungi maklumat pelanggan melalui kawalan mencukupi seperti digariskan dalam dokumen dasar Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan yang Dibenarkan (MCIPD PD).

Menurut BNM, Bank Rakyat telah mengambil langkah pemulihan bagi memperkukuh keselamatan siber serta meningkatkan kawalan, sumber, dan tadbir urus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bank pusat itu berkata, dalam membuat keputusan mengenakan AMP, semua faktor berkaitan telah dipertimbangkan.

You May Also Like...

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkembangan berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana PAS bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama dilihat memberi sokongan kepada BN di beberapa kawasan.