KUALA LUMPUR: Prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini tetap mencatat pertumbuhan lebih tinggi, berbanding unjuran awal, walaupun negara berdepan kesan kenaikan harga minyak akibat krisis Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika unjuran ekonomi dibuat, harga minyak adalah kira-kira AS$70 dolar setong, namun ketika ini meningkat kepada lebih AS$100 dolar akibat krisis.
"Pada suku pertama tahun ini, dalam keadaan sibuk dengan perang Teluk, harga minyak kemudian sekarang sudah lebih AS$100 dolar setong.
"Bagaimanapun, alhamdulillah. Dalam keadaan begitu pun, prestasi pertumbuhan ekonomi kita tahun lalu dan suku pertama tahun ini lebih tinggi daripada unjuran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di sini, hari ini.
Jelas beliau, keadaan itu memerlukan kerajaan memberi perhatian serius terhadap pengurusan ekonomi negara termasuk langkah menghadapi tekanan kos semasa.
Perdana Menteri berkata, selain ekonomi, sukan juga menunjukkan prestasi lebih baik daripada sasaran yang diunjurkan.
Rentetan itu, beliau berkata, kerajaan harus mengambil contoh daripada semangat juang atlet negara yang berjaya melepasi sasaran sebagai batu loncatan untuk negara turut mencapai prestasi lebih baik daripada jangkaan. - CHX


















































































































































































































































