PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan akan terus mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, namun kali ini di bawah tiket Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di sini hari ini.
Menurutnya, parti baharu itu bagaimanapun belum menetapkan sasaran jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi dalam pilihan raya akan datang.
“Saya akan bertanding di Parlimen Pandan atas tiket BERSAMA. Namun, terlalu awal untuk menentukan jumlah kerusi yang akan kita tandingi,” katanya.
Rafizi menjelaskan, pendekatan parti itu adalah berpandukan data serta analisis menyeluruh terhadap setiap kerusi di seluruh negara sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita akan menilai semua kerusi berdasarkan data. Dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, kita mungkin mula membincangkan jumlah kerusi yang sesuai.
Pada masa sama, kita juga perlu melihat sambutan rakyat dalam satu hingga dua bulan ini,” katanya.
Beliau menambah, sekitar Julai atau Ogos disifatkan sebagai tempoh paling sesuai untuk memuktamadkan keputusan berhubung penyertaan pilihan raya parti itu.
Dalam pada itu, Rafizi menegaskan BERSAMA tidak terikat untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik sedia ada.
“Kita tidak terikat dengan mana-mana pihak. Kita sebuah parti berbilang kaum dan boleh bertanding di mana-mana kerusi.
Jika terdapat kesepadanan dari segi sokongan dan kehendak pengundi, kita bersedia bertanding di kerusi yang kini dipegang oleh PH, PN mahupun BN,” katanya.
Mengulas perkembangan parti, beliau turut menjangkakan lebih ramai pemimpin politik, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), akan menyertai BERSAMA dalam masa terdekat atau selepas Parlimen dibubarkan.
Bagaimanapun, menurut Rafizi, kekangan undang-undang khususnya Akta Anti Lompat Parti ketika ini menjadi faktor yang mengehadkan pergerakan wakil rakyat untuk membuat keputusan sepanjang tempoh Parlimen masih berjalan.
“Saya dan Nik Nazmi mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan platform ini terlebih dahulu. Saya yakin ramai wakil rakyat sedang menilai pilihan mereka, tetapi terikat dengan akta sedia ada.
“Sebab itu, kita perlu merintis jalan ini dengan menyediakan platform baharu, manakala keputusan seterusnya bergantung kepada pertimbangan masing-masing,” katanya.- CHX





















































































































































































































































