KEADILAN Shah Alam tegaskan kedudukan cabang kekal stabil

25 May, 2026

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Shah Alam menegaskan bahawa kedudukan parti di peringkat cabang kekal stabil meskipun timbul laporan mengenai beberapa pimpinan didakwa keluar parti.

Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam, Najwan Halimi, berkata hasil semakan dalaman mendapati hanya tiga Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang yang benar-benar mengesahkan keluar parti.

“Kami mengambil maklum tentang laporan media terkait tindakan beberapa pimpinan KEADILAN Cabang Shah Alam yang telah mengisytiharkan diri keluar dari parti. Pihak Cabang telah menjalankan siasatan dan semakan daripada senarai nama-nama di dalam kenyataan media tersebut, dan mendapati hanya tiga orang AJK Cabang yang mengesahkan keluar parti secara sukarela,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, laporan yang tersebar sebelum ini tidak menggambarkan keadaan sebenar dan boleh mengelirukan orang ramai.

Najwan mendakwa tindakan segelintir pihak itu dipercayai berpunca daripada kekecewaan dalam pemilihan parti sebelum ini.

“Kami percaya tindakan kelompok ini didalangi oleh salah seorang Ahli Parlimen KEADILAN yang kecewa susulan kekalahan beliau dalam pemilihan parti bagi merebut jawatan peringkat pusat dan cabang pada tahun lalu,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa KEADILAN Cabang Shah Alam tidak akan terjejas dengan sebarang percubaan untuk melemahkan parti dari dalam.

“KEADILAN Cabang Shah Alam kekal utuh dan tidak akan tunduk dengan rencana makar oleh pemimpin yang bersifat gunting dalam lipatan,” katanya lagi.

Terdahulu, pada pagi tadi tersebar kenyataan bahawa seramai 21 AJK Cabang Shah Alam bersama sebahagian besar pimpinan termasuk wanita mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Mereka mendakwa keputusan itu dibuat ekoran hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan ketua cabang, Najwan Halimi. - CHX

You May Also Like...