SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sedang mempergiatkan usaha diplomatik bagi membebaskan 29 peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby, berkata usaha berkenaan digerakkan melalui Wisma Putra dengan kerjasama negara-negara sahabat bagi meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis Israel.
Menurutnya, Israel telah menahan peserta misi tersebut pada 18 dan 19 Mei lalu.
“Usaha sedang digerakkan secara giat dan berterusan melalui kerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua aktivis dibebaskan dengan segera,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Sani menyambut baik ketegasan Kerajaan Malaysia yang mengecam keras tindakan pencerobohan oleh rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF 2.0 di perairan antarabangsa menuju ke Gaza.
Beliau turut mengumumkan penggunaan tanda pagar #IsraelBacul sebagai kempen solidariti rakyat Malaysia bagi membantah tindakan rejim Zionis.
Tambahnya, sokongan rakyat Malaysia amat penting, termasuk melalui penganjuran solat hajat perdana di masjid, bacaan Qunut Nazilah serta munajat berterusan demi keselamatan delegasi Malaysia dan pembelaan terhadap umat di Gaza.
Semalam, pihak GSF memaklumkan bahawa kesemua 50 bot misi mereka dipintas oleh Israel di timur Mediterranean pada 18 dan 19 Mei, mengakibatkan 428 aktivis dari lebih 40 negara ditahan, termasuk 29 delegasi Malaysia yang menaiki 18 bot.
Untuk rekod, sebanyak 54 kapal GSF 2.0 berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza pada 14 Mei lalu.
Sebelum itu, pada 30 April, sekurang-kurangnya 22 kapal GSF 2.0 turut dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Crete, Greece, sebelum dilepaskan pada 2 Mei. - CHX


















































































































































































































































