Semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Negeri Sembilan yang sebelum ini menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kini menyatakan sokongan semula kepada Kerajaan Perpaduan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang isu berbangkit selepas ini akan diuruskan oleh pimpinan tertinggi parti berlandaskan perjanjian yang dimeterai antara komponen Kerajaan Perpaduan semalam.
“Keputusan sekarang ialah Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal, maka mereka (14 ADUN) kekal menyokong Kerajaan Perpaduan. Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa isu pentadbiran kerajaan negeri berjaya diselesaikan selepas pertemuan pimpinan tertinggi UMNO dan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Beliau mengesahkan Aminuddin kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pada 27 April lalu, 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri susulan krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Fahmi turut menjelaskan pertemuan semalam tidak menyentuh isu Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.


















































































































































































































































