Kerajaan percepat naik taraf KKIA, Sabah muncul destinasi pelancongan utama negara

30 May, 2026

PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif mempercepatkan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) susulan lonjakan sektor pelancongan dan pembangunan di Sabah yang kini melepasi unjuran awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan ketara ketibaan pelancong ke negeri di bawah bayu itu menuntut kemudahan infrastruktur, khususnya lapangan terbang, dipertingkatkan dengan segera bagi menampung permintaan semasa.

Menurut beliau, prestasi ekonomi dan pelancongan Sabah menunjukkan perkembangan luar jangka yang positif, sekali gus meletakkan negeri itu sebagai antara destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia.

“Pertumbuhan di Sabah telah melepasi unjuran biasa dengan pembangunan yang amat membanggakan, justeru ia memerlukan keupayaan infrastruktur yang lebih cekap dan responsif,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Langkah mempercepatkan naik taraf KKIA dilihat sebagai strategi penting dalam memastikan kapasiti lapangan terbang mampu menangani peningkatan jumlah penumpang, selain menyokong kelangsungan industri pelancongan tempatan yang terus berkembang pesat.

Dalam konteks pembangunan serantau, Anwar turut menekankan bahawa Sabah dan Sarawak kini memainkan peranan semakin signifikan dalam landskap ekonomi negara. Sarawak, katanya, mula menyerlah sebagai hab tenaga dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), melengkapi pusat industri sedia ada seperti Selangor dan Kulim, Kedah.

Seiring itu, kerajaan komited memastikan Sabah tidak terpinggir dalam arus pembangunan nasional, terutama dalam menghadapi era digital dan teknologi baharu yang semakin kompetitif.

Selain itu, usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar turut menjadi keutamaan kerajaan, khususnya di Sabah dan Sarawak, agar manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh seluruh rakyat.

Tindakan mempercepatkan naik taraf KKIA dijangka memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi tempatan, meningkatkan daya saing sektor pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai pintu masuk utama pelancong ke Malaysia Timur. - CHX

You May Also Like...