Tindakan zionis pintas Flotilla Gaza, tahan aktivis sangat biadap – PM

18 May, 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis memintas flotilla kemanusiaan Gaza serta menahan lebih 100 aktivis antarabangsa, termasuk 16 warga tempatan yang menyertai misi aman berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan itu sebagai amat biadap, selain mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

"Rejim ini dilihat rakus dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa saja yang bangkit mempertahankan serta membela rakyat Palestin.

"Justeru, Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan," katanya menerusi hantaran di laman media sosial beliau hari ini.

Media hari ini melaporkan jumlah rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dan ditahan tentera Israel meningkat kepada 16 orang, berdasarkan kemas kini setakat jam 7.05 petang menerusi paparan langsung di Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia.

Menegaskan perkara itu, Anwar berkata komuniti antarabangsa tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan rejim berkenaan.

"Penindasan ke atas warga Palestin dan mereka yang menggerakkan serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera. Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban," katanya. - CHX

You May Also Like...