PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa terdapat unsur “emosi” dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya, susulan kenyataan yang dibuat bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, baru-baru ini.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, kenyataan Azam menimbulkan persoalan dan berkemungkinan dipengaruhi oleh rasa tidak puas hati terhadap kritikan yang pernah dilontarkannya sebelum ini, termasuk berkaitan isu pemilikan saham.
“Dalam ucapan persaraannya, Azam menyatakan beliau tidak akan memaafkan individu yang menyerang atau mengkritiknya.
“Apabila kita meneliti kenyataan tersebut, jelas terdapat unsur emosi, walaupun mungkin perkara itu sudah menjadi kebiasaan.
“Namun, pihak berkuasa tidak sepatutnya dipengaruhi emosi dalam mengendalikan sesuatu kes. Jika wujud unsur sedemikian, individu berkenaan sepatutnya menarik diri daripada siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini, pagi ini.
Menurut Rafizi, sebagai ketua sebuah agensi penguat kuasa penting, Azam perlu dilihat bebas, profesional dan kebal daripada sebarang kritikan, memandangkan SPRM seharusnya berpandukan bukti serta undang-undang semata-mata.
Tambahnya, kenyataan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada siasatan terhadapnya yang dimulakan kira-kira dua setengah bulan lalu mempunyai unsur dipengaruhi perasaan.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, saya antara individu yang paling lantang mengkritik beliau.
“Kritikan itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya bertujuan memastikan SPRM bukan sahaja bebas dan bersih, tetapi juga diyakini sedemikian oleh rakyat,” katanya. - CHX


















































































































































































































































