Perpaduan Malaysia diperkukuh melalui kepelbagaian, ikut acuan piagam Madinah – Zulkifli Hasan

17 Jun, 2026

PUTRAJAYA: Malaysia perlu terus memperkukuh semangat perpaduan berasaskan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan sebagai sebuah negara majmuk yang harmoni dan stabil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pendekatan ini selari dengan konsep Piagam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah.

Menurut beliau, Piagam Madinah menyatukan masyarakat pelbagai kabilah dan agama dalam satu kerangka kenegaraan yang menekankan keadilan, tanggungjawab bersama dan kesejahteraan sosial.

Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian masyarakat di Malaysia bukan satu kelemahan, sebaliknya merupakan kekuatan strategik yang perlu diurus dengan hikmah dan kebijaksanaan demi kelestarian negara.

“Saya menyeru agar kita semua merapatkan saf, memadam segala bara permusuhan, dan memberi tumpuan kepada titik persamaan yang menyatukan kita sebagai umat Islam.

Berdasarkan Surah al-Hujurat ayat 10, ulama tafsir menjelaskan bahawa kesatuan masyarakat akan membawa limpahan rahmat kepada semua.

Sebaliknya, perpecahan hanya akan mengundang musibah dan ketidaktentuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, hari ini.

Dalam menghadapi cabaran global serta tekanan ekonomi semasa, Dr Zulkifli menekankan bahawa kesatuan rakyat adalah kunci utama bagi memastikan kestabilan, kemakmuran dan keharmonian negara terus terpelihara.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh perpaduan nasional serta memartabatkan syiar Islam dalam kerangka masyarakat majmuk yang sejahtera. - CHX

You May Also Like...