Fahmi, Dzulkefly ingatkan pemimpin politik jaga hubungan kerajaan perpaduan, jangan ‘bakar jambatan’

8 Jun, 2026

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, mengingatkan pemimpin politik supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan daripada kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang enggan bekerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Terlajak kata buruk padahnya," katanya secara ringkas selepas Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri, di sini, hari ini.

BH melaporkan, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP bagi menghormati hasrat rakyat negeri itu yang mahu BN bergerak sendiri pada PRN.

Menteri Besar Johor itu berkata, pendirian itu bukan didorong oleh sentimen perkauman mahupun bersifat sombong.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia adalah soal prinsip, mandat yang diterima dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.

Malah, beliau menegaskan lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil pendirian terlalu tegar dalam soal kerjasama politik kerana keadaan boleh berubah pada masa hadapan.

"Do not burn bridges (Jangan bakar 'jambatan'). Sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada. Kita tidak tahu apa takdir yang mendatang jadi jangan terlalu ekstrem dan inflexible (tidak fleksibel), jangan terlalu jumud," katanya.

You May Also Like...