Kerajaan perhalusi syarat kemasukan pelajar UEC, tahfiz ke universiti – PM

15 May, 2026

SEREMBAN: Kerajaan akan memperincikan keputusan membenarkan lepasan institusi tahfiz dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), untuk melanjutkan pengajian dalam program terpilih di universiti awam (UA).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin langkah itu akan diterima baik oleh semua pihak memandangkan ia memberi ruang kepada pelajar UEC mengakses pendidikan tinggi awam, tertakluk kepada syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Keputusan Jemaah Menteri adalah pelajar mesti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah. Kita membenarkan akses ini, walaupun pada peringkat awal ia mungkin terhad kepada kursus-kursus tertentu.

"Sebelum ini, perkara ini tidak dipersetujui. Namun, memandangkan sekolah menengah persendirian Cina telah menerima syarat tersebut, kita juga berasa selesa dengannya.

"Nampaknya semua pihak kini bersetuju, walaupun beberapa butiran lanjut masih sedang diperhalusi," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara 2026 peringkat kebangsaan.

Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan keterbukaan itu sebagai langkah inklusif bagi memastikan bakat muda negara daripada pelbagai latar belakang pendidikan dapat menyumbang kepada pembangunan negara melalui saluran akademik yang diiktiraf.

Beliau turut menekankan bahawa pemerkasaan bahasa kebangsaan dan pemahaman sejarah negara tetap menjadi tunjang utama dalam integrasi pendidikan tersebut.- CHX

You May Also Like...