KUALA LUMPUR: Langkah segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mula melaungkan keyakinan untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya di Johor, disifatkan sebagai tindakan berisiko yang boleh memakan diri ketika sokongan Melayu terhadap UMNO masih belum pulih sepenuhnya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tanggapan bahawa BN sudah cukup kuat untuk menghadapi pilihan raya secara bersendirian serta mampu meraih kemenangan mudah merupakan satu sikap yang berbahaya.
Beliau berkata, walaupun Johor kekal sebagai antara negeri terkuat bagi UMNO dan BN, kemenangan pilihan raya tidak ditentukan oleh faktor nostalgia atau kegemilangan lampau semata-mata.
“Ya, Johor kekal sebagai antara negeri terkuat UMNO dan BN. Jentera akar umbi masih hidup, struktur parti masih kukuh dan sokongan Melayu lebih kuat berbanding banyak negeri lain.
“Namun, politik tidak dimenangi berdasarkan nostalgia atau pujian terhadap diri sendiri. Ia ditentukan oleh realiti semasa, dan realitinya kini menunjukkan sokongan Melayu terhadap UMNO dan BN masih berpecah serta belum benar-benar terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lokman berkata, andaian bahawa Johor sudah kembali sepenuhnya ke dalam genggaman UMNO adalah tidak tepat kerana pengundi kini semakin dinamik dan sukar diramal.
Menurutnya, pengundi muda khususnya tidak lagi terikat dengan pola sokongan tradisional manakala sebahagian pengundi atas pagar masih menilai sebelum membuat keputusan.
“Ketika ini, cakap-cakap untuk BN bergerak solo dilihat terlalu awal dan berisiko,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui keyakinan merupakan elemen penting dalam politik, namun menegaskan sikap terlalu yakin boleh membawa padah kepada sesebuah parti.
“Parti bukan kalah semata-mata kerana lemah, tetapi kadangkala kalah kerana terlalu angkuh,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO berkata, sekiranya BN Johor meneruskan hasrat untuk bertanding secara bersendirian dalam PRN akan datang, kemungkinan berlakunya perpecahan undi adalah tinggi, sekali gus membuka ruang kepada pihak lawan untuk merampas kerusi yang sepatutnya dapat dipertahankan.
“Ada pemimpin yang melihat peningkatan sokongan mutakhir sebagai tanda BN sudah pulih sepenuhnya. Hakikatnya, itu hanyalah fantasi politik. Pemulihan tidak bermaksud dominasi lama telah kembali.
“Medan politik hari ini jauh lebih kompleks berbanding dua dekad lalu, justeru kestabilan serta kerjasama politik yang bijak masih diperlukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan bergerak terlalu agresif dan terlalu awal boleh mengundang risiko besar.
Pada 17 Mei lepas, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang. - CHX


















































































































































































































































