PRN Johor: BN umum senarai calon seminggu sebelum penamaan, kekal kriteria WALI

4 Jun, 2026

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari penamaan calon.

Ia bagi memastikan kesiapsiagaan penuh parti di samping mengekalkan konsep WALI iaitu gabungan kualiti calon yang berpotensi untuk menang (winnable), disukai (likable), dan boleh diterima oleh masyarakat (acceptable) sebagai teras utama pemilihan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata senarai penuh calon bagi semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan dimuktamadkan dalam tempoh yang paling singkat.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari, Putrajaya di sini, hari ini.

Jelas beliau, pendekatan pengumuman awal ini amat penting bagi memastikan sebarang isu berbangkit di peringkat kawasan atau DUN tertentu dapat ditangani dan diselesaikan dengan lebih lancar sebelum saingan bermula.

Konsep WALI asas pemilihan calon

Mengulas lanjut mengenai kriteria pemilihan calon, Ahmad Zahid menegaskan tiga falsafah utama di bawah konsep WALI kekal menjadi sandaran parti demi memastikan barisan kepimpinan yang ditawarkan benar-benar memenuhi kehendak pengundi di peringkat akar umbi.

Pada masa yang sama, beliau mendedahkan bahawa BN akan menerapkan elemen kombinasi yang seimbang antara pemegang jawatan sedia ada dengan penampilan ramai muka-muka baharu.

"Kehadiran bakat-bakat kepimpinan baharu ini dijangka mewarnai serta menyuntik dinamik politik yang segar kepada landskap pentadbiran di Negeri Johor kelak," katanya.

Sementara itu, menyentuh aspek jentera parti, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN kini dalam fasa akhir memperkukuhkan penyelarasan jentera sedia ada.

"Bagi memastikan kelancaran gerak kerja kempen kelak, parti juga akan menggerakkan sokongan rakan-rakan jentera daripada negeri lain untuk turun padang membantu kempen di Johor.

Pembabitan jentera luar ini dijangka mampu mempertingkatkan sokongan moral serta memperkemas jentera tempatan demi memastikan kemenangan mutlak kekal milik parti," katanya.

DUN Johor bubar berkuat kuasa 1 Jun

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun 2026 (Isnin) dalam sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru.

Pembubaran itu berkuat kuasa serta-merta pada hari yang sama selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Onn Hafiz berkata, pembubaran DUN dibuat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan memastikan rakyat Johor terus mempunyai kerajaan yang stabil dan kukuh.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi. PRN Johor ke-15 diadakan pada Mac 2022. Pada PRN15, BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

DUN Johor sebenarnya hanya akan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 jika tidak dibubarkan lebih awal.

Susulan pembubaran pada 1 Jun 2026, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi dalam tempoh 60 hari.

Semalam, Onn Hafiz menafikan satu senarai tular kononnya calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menyeru semua parti politik, pemimpin dan penyokong supaya mengamalkan politik matang, berakhlak serta bertanggungjawab menjelang PRN Johor, Onn Hafiz berkata semua pihak perlu mengelakkan penyebaran fitnah, khabar angin dan berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan serta proses demokrasi di negeri itu. - CHX

You May Also Like...