Rodziah tegas tidak khianati mandat penduduk Ampang

19 May, 2026

AMPANG: Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau tidak pernah, dan tidak akan sesekali mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat kawasan itu.

Menurutnya, amanah tersebut sentiasa dijunjung tinggi dalam setiap tugas yang dilaksanakan, sama ada di Parlimen, ketika turun padang bersama masyarakat, dalam perbincangan dasar, mahupun dalam usaha membawa dan memperjuangkan suara rakyat Ampang.

“Kerusi Parlimen Ampang bukan milik mana-mana individu atau kelompok.

“Ia adalah amanah rakyat. Selagi rakyat memberi kepercayaan, selagi itu saya akan terus bekerja dan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, maruah dan integriti.

“Ampang memerlukan kestabilan, khidmat serta penyelesaian bukan politik yang menambahkan perpecahan dan keresahan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membincangkan tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimennya yang hadir ke program pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, kelmarin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik parti yang dijadualkan hari ini.
Ia susulan kehadiran beberapa Ahli Parlimen PKR, termasuk Rodziah, yang dilihat bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi ketika kedua-dua pemimpin itu mengumumkan keputusan untuk meninggalkan parti serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Antara yang hadir ialah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Mengulas lanjut, Rodziah berkata beliau maklum mengenai pelbagai kenyataan berhubung kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Ampang, namun memilih untuk memberi respons secara tenang dan berhemah.

Menurutnya, rakyat kini semakin matang dalam menilai antara politik persepsi dan kerja sebenar yang dilaksanakan demi kepentingan mereka.

“Sejak awal pagi tadi, saya berada di lapangan meneruskan siri lawatan kerja selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen bagi meneliti pelbagai isu.

“Bagi saya, itulah amanah sebenar seorang wakil rakyat, hadir, mendengar, meneliti dan membawa suara rakyat ke peringkat pembuat dasar. Politik tidak seharusnya hanya berkisar tentang kenyataan media, persepsi dan percaturan dalaman semata-mata, sedangkan rakyat berdepan pelbagai cabaran kehidupan yang jauh lebih besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan tidak mudah terkesan dengan tuduhan atau label yang dilemparkan, hanya kerana perbezaan pandangan dan pendekatan dalam sesuatu isu. - CHX

You May Also Like...