Kerajaan Selangor sedia dedah laporan penuh insiden letupan paip gas Putra Heights

22 May, 2026

SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersedia mendedahkan laporan penuh berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights kepada umum dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan penuh berkenaan sudah pun siap, namun pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan siasatan turut melibatkan agensi di peringkat pusat.

“Kerajaan negeri tiada masalah untuk mendedahkan laporan ini. Saya sendiri akan mengesyorkan supaya ia didedahkan kepada umum.

“Kita bersikap telus dan mahu orang ramai berpeluang menyemak laporan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri kini menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan yang turut memberi tumpuan kepada penyelesaian krisis berkenaan.

“Terdapat agensi Persekutuan yang terlibat di bawah bidang kuasa mereka, sebab itu kita perlu merujuk kepada pihak tersebut dahulu sama ada laporan ini boleh dikemukakan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor dan Program Didik Kasih di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan, laporan berkenaan merangkumi dapatan Jawatankuasa Bebas yang turut disertai wakil pembangkang.

“Jawatankuasa ini melibatkan pakar yang menyemak laporan siasatan oleh pasukan petugas rasmi, termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.

“Kesemua dapatan ini telah dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengemukakan laporan semakan siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan lalu.

Langkah itu diambil selepas Jawatankuasa Bebas berkenaan membentangkan hasil laporan mereka kepada kerajaan negeri. - CHX

You May Also Like...