JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa aspek keselamatan di projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura akan berada pada tahap tertinggi menjelang pembukaan penuh sistem pengangkutan itu pada 31 Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar di sini dengan Woodlands North, Singapura, bakal menjadi pintu masuk darat paling sibuk di negara ini apabila mula beroperasi sepenuhnya kelak.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada kemajuan fizikal projek yang kini telah mencapai 90 peratus, malah turut memperkasakan kesiapsiagaan operasi membabitkan teknologi, sistem komunikasi dan sumber manusia.
“Kita sedar kawalan sempadan ini terdedah kepada pelbagai potensi ancaman seperti penyeludupan manusia dan aktiviti haram.
“Justeru, ketika kita mahu memastikan pergerakan penumpang itu lancar (seamless), teknologi akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan setiap pergerakan direkod, dianalisis dan dipantau.
“Tiada ruang langsung akan diberikan kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang di laluan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke fasiliti RTS Bukit Chagar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penggunaan teknologi, Saifuddin berkata fasiliti tersebut akan dilengkapi dengan 18 unit mesin pengimbas bagasi, 22 unit pengimbas badan dan 10 unit pengimbas berteknologi millimeter wave yang mampu mengesan ancaman secara automatik tanpa menjejaskan kelajuan aliran penumpang.
Selain itu, kawalan sempadan digital akan diperkukuh menerusi pemasangan 220 unit e-gate serta pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) yang dijadual bermula pertengahan Jun ini bagi menggantikan sistem MyIMMs.
Dari segi kesiapsiagaan sumber manusia, sebanyak 794 waran perjawatan telah diluluskan membabitkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seramai 478 pegawai lantikan baharu akan menjalani latihan operasi di PULAPOL Segamat bermula 22 Jun ini sebelum mereka ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar bermula 1 Oktober depan," tambah beliau.
Projek RTS Link sepanjang empat kilometer itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027 dengan kapasiti membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu kesesakan di Tambak Johor. - CHX


















































































































































































































































