UMNO 80 tahun: ‘Tok Mat’ tepis usaha lagakan kepimpinan, tekad setia bersama Presiden

2 May, 2026

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mendedahkan wujud gerakan terancang oleh pihak tertentu yang cuba melagakan beliau dengan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, demi menggugat kestabilan UMNO.

Meskipun menyedari pelbagai usaha untuk mencetuskan perpecahan tersebut, tokoh yang mesra disapa Tok Mat itu menegaskan beliau memilih untuk tidak melayan provokasi berkenaan, sebaliknya kekal setia mendokong kepimpinan Ahmad Zahid.

“Ramai pihak cuba melagakan Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan saya. Usaha ini bukan sedikit, tetapi saya memilih untuk terus setia kepada parti dan mendokong kepimpinan beliau.

“Apa sahaja yang diperkatakan tentang Datuk Seri, saya pekakkan telinga dan butakan mata. Yang penting, kita terus menguatkan tekad untuk bersama dalam parti yang kita dokong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Pembukaan Konvensyen UMNO ke-80 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam ucapannya, Mohamad memberi amaran keras agar tiada mana-mana anasir cuba mengadu domba atau memecahbelahkan ahli serta saf kepimpinan dalam fasa kritikal ini.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai salah satu organisasi politik paling mantap dan bersatu di Malaysia.

Keteguhan ini, menurut beliau, adalah bukti bahawa UMNO terus memainkan peranan penting sebagai pelengkap dan pengimbang kepada kestabilan landskap politik tanah air.

You May Also Like...