Johor peruntuk RM5.975 juta bantuan bilik guru, manfaat 49,000 pendidik

24 May, 2026

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM5.975 juta menerusi Belanjawan Johor 2026 bagi pelaksanaan Bantuan Bilik Guru, yang kini memasuki tahun keempat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada 1,195 sekolah dan lebih 49,000 guru di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, peruntukan tersebut merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa serta pengorbanan warga pendidik yang menjadi tulang belakang dalam membentuk masa depan Bangsa Johor.

“Guru bukan sahaja mengajar di bilik darjah, tetapi turut membina keyakinan, membentuk akhlak, menyemai harapan serta menyediakan generasi pewaris Johor yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Majlis Aspirasi Pendidikan Negeri Johor 2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara di sini.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan Anugerah Khas, Tokoh Kepimpinan Pendidikan serta Tokoh Guru 2026 kepada warga pendidik yang menunjukkan kecemerlangan, komitmen dan jasa luar biasa dalam memperkasa sektor pendidikan negeri.

Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik di Johor atas dedikasi, komitmen dan pengorbanan mereka dalam mendidik generasi masa depan.

“Tanpa guru, kita tidak mungkin mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berkeupayaan membawa negeri ke arah masa depan lebih cemerlang.

“Semoga usaha ini terus memperkukuh kebajikan warga pendidik, memartabatkan sistem pendidikan negeri serta melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berakhlak, berkualiti dan berdaya saing,” katanya. - CHX

You May Also Like...

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkembangan berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana PAS bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama dilihat memberi sokongan kepada BN di beberapa kawasan.