KUALA LUMPUR: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kebimbangan terhadap pertelingkahan dalam kalangan orang Melayu serta umat Islam dilihat tepat pada masanya, susulan kecenderungan segelintir pihak meniup sentimen perkauman serta memperalatkan agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata titah baginda sempena Hari Raya Aidiladha itu menekankan kepentingan perpaduan umat, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan, kesejahteraan dan kestabilan negeri serta negara.
Menurut beliau, semua pihak termasuk pembangkang diseru menghentikan amalan “selective loyalty” yang kononnya mempertahankan raja, agama dan bangsa hanya apabila menguntungkan kepentingan politik mereka.
“Sebaliknya, prinsip yang sama diabaikan apabila tidak memihak kepada kepentingan sendiri. Sikap sebegini juga menyebabkan ada pihak membisu apabila terdapat individu luar yang menghina dan mencela kewibawaan Institusi Diraja Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Amirudin menegaskan bahawa Malaysia tidak dibina atas asas kebencian kaum atau ketakutan beragama, sebaliknya berteraskan semangat muafakat, persefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang serta keluhuran undang-undang.
Beliau turut menggesa rakyat untuk menjunjung titah Sultan Selangor dengan menghayati Rukun Negara secara menyeluruh, termasuk memahami latar belakang serta mukadimahnya yang mengandungi cita-cita besar pembentukan sebuah negara yang bersatu padu, demokratik, adil dan progresif.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz dalam majlis rasmi, tetapi merupakan falsafah kebangsaan yang perlu dihayati dalam kehidupan bernegara.
“Selain itu, semua pihak juga harus meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur dan bertanggungjawab, serta membaca Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj agar sejarah negara tidak diputar belit demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Amirudin menambah, Malaysia secara jelas diasaskan sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Sehubungan itu, katanya, sebarang cubaan untuk mengherotkan sejarah, menanam kebencian antara kaum atau mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta berbahaya kepada masa depan negara.
“Kerajaan Selangor akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang sebagaimana digariskan oleh pengasas negara, dan dizahirkan semula melalui titah serta nasihat Sultan Selangor,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan orang Melayu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan kaum lain di negara ini.
Sebaliknya, baginda bertitah kekuatan sesuatu bangsa yang hidup dalam perpaduan akan menjadikan negara lebih aman, stabil, dan rakyatnya hidup dalam suasana saling hormat-menghormati. - CHX


















































































































































































































































