KEADILAN dijangka kekal di Pandan jika letak ‘Figura Tepat’- Pensyarah

27 May, 2026

KUALA LUMPUR: Parlimen Pandan berpotensi terus dimenangi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya parti itu menampilkan calon yang sesuai dan meyakinkan, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, corak pengundian lazimnya dipandu pertimbangan rasional dengan mengambil kira faktor untung rugi, kestabilan serta jaminan masa depan.

Beliau berkata, walaupun Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat berupaya mencipta gelombang dan membina persepsi sebagai pemimpin yang membawa idea baharu, keputusan pengundi akhirnya bergantung kepada keupayaan seseorang menterjemahkan perubahan ketika memegang kuasa.

“Sekiranya KEADILAN berjaya mengetengahkan figura yang lebih tenang, meyakinkan, mampu bekerjasama dengan kerajaan serta mempunyai imej stabil dan mesra komuniti bandar di Pandan, besar kemungkinan sebahagian besar pengundi Cina akan melihatnya sebagai pilihan lebih selamat untuk masa depan ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Misrinah berkata dakwaan mengenai Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang mempunyai kira-kira 15 peratus keahlian dalam kalangan masyarakat Cina tidak semestinya mencerminkan tahap keyakinan pengundi secara keseluruhan.

Menurutnya, pengundi Cina tidak mudah dipengaruhi sentimen politik, sebaliknya lebih cenderung membuat penilaian secara praktikal dengan menekankan kestabilan ekonomi serta akses kepada pembangunan.

“Antara persoalan utama yang akan dinilai pengundi Cina, termasuk di Pandan, ialah sejauh mana perubahan besar yang benar-benar dirasai rakyat ketika Rafizi memegang jawatan penting sebagai Menteri Ekonomi.

“Adakah wujud dasar signifikan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka? Lebih penting, adakah pencapaian ekonomi itu menyentuh aspek kos sara hidup, peluang perniagaan dan kestabilan ekonomi,” katanya.

Beliau menambah landskap politik masa kini tidak lagi tertumpu kepada keberanian mengkritik kerajaan semata-mata, sebaliknya dinilai berdasarkan keupayaan pemimpin menjaga kepentingan dan masa depan pengundi.

“Inilah cabaran terbesar Rafizi di Pandan. Beliau mungkin berupaya menguasai pentas ceramah, namun realitinya majoriti pengundi senyap, khususnya masyarakat Cina, semakin bersikap pesimis dan sinikal.

“Mereka mempersoalkan, jika ketika berada dalam kerajaan pun perubahan besar tidak dapat dilaksanakan, sejauh mana beliau mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik sekiranya berada di pihak pembangkang,” katanya.

You May Also Like...